Assalamualaikum.
Alhamdulillah. Dah masuk 20 Ramadhan kita semua umat Islam berpuasa. Cepat kan Ramadhan meninggalkan kita. Dan jangan kita biarkan Ramadhan berlalu pergi dengan begitu sahaja. Ruginya kita :(
10 malam terakhir adalah malam yang ditunggu tunggu oleh sekalian umat Islam yang menunaikan puasa kerana pada 10 malam terakhir ini, satu malam adalah malam yang penuh dengan keberkatan iaitu lailatul qadar. Malam yang lebih baik dari seribu bulan. Malam para malaikat turun membawa keberkatan dan kebaikan kepada umat yang beribadah. Sesiapa yang dapat kebaikan pada malam tersebut, mereka adalah golongan yang paling beruntung. InsyaAllah sama sama lah kita hidupkan lailatul qadar.
Kata sesetengah ulama, lailatul qadar berlaku pada satu malam tertentu seperti malam 21 dan 23 Ramadhan. Ini menurut Imam Syafie r.a dan sesetengah ulama kerana ada hadis Bukhari dan Muslim yang menceritakan lailatul qadar berlaku pada malam tersebut sehingga Rasulullah saw sujud dan dahinya yang mulia masih berlumuran tanah pada malam itu. Ada sesetengah ulama, tidak menentukannya secara pasti dan ada juga ulama terutama dari kalangan para zuhad dan sebagainya mengira dengan hari permulaan puasa.
Menurut mereka sekiranya permulaan puasa jatuh pada hari:
Ahad/Rabu = Lailatul qadar ialah pada hari ke 29
Jumaat/Selasa = Lailatul qadar jatuh pada hari ke 27
Khamis = Lailatul qadar pada hari ke 25
Sabtu = Lailatul qadar pada hari ke 23
Isnin = Lailatul qadar pada hari ke 21
Demikianlah kaedah yang diguna pakai oleh sebahagian ulama termasuk Imam Abu Hasan r.a. Tegas beliau, aku tidak pernah terlepas lailatul qadar tersebut dengan menggunakan kaedah ini.
Tanda dan alamat:
Tanda dan alamatnya adalah banyak, antara lain malam itu sendiri berlalu dengan penuh keheningan dan tenteram, angin bertiup lembut sepoi-sepoi bahasa dan esoknya, pada pagi hari kelihatan langit agak redup dan cahaya matahari tidak begitu menyinari ruang angkasa dan macam-macam lagi.
Hikmah:
Hikmatnya ialah apabila seseorang mengetahui malam Lailatulqadar tersebut, maka eloklah diperbanyakkan doa dan istighfar juga ibadat pada malam dan keesokannya, untuk mendapatkan fadilat hari yang penuh berkat dan mulia itu. Yakinlah apabila seseorang itu bersedia setiap malam Ramadan dengan ibadat, sekurang-kurangnya bersolat jemaah setiap waktu, Maghrib, Isyak dan Subuh, kata ulama dia pasti memperoleh fadilat malam Lailatulqadar
Oleh itu bersolatlah dengan tekun dan berterusan terutama pada bulan Ramadan al-Mubarak ini. Walau tinggal beberapa hari saja lagi malam-malam di bulan Ramadhan, pastikan kita menjadi juara diakhirnya nanti. Semoga Ramadhan kali ini menjanjikan kita kemenangan. Kemenangan melawan dan menguasai hawa nafsu. InsyaAllah.
Sumber: Iluvislam.com
Ya Allah ampunkan dosa dosaku dan dosa dosa kedua ibubapaku. Amin Ya Rabbal Alamin.
Sabda Rasulullah saw yang bermaksud: Sesiapa yang menghidupkan Ramadan dengan penuh keimanan dan penuh kesedaran (mengharap ganjaran Allah) nescaya akan diampuni baginya dosa-dosa yang lalu.
No comments:
Post a Comment